Friday, January 16, 2009

Orang Teater - Para Seniman Teater Sarawak

Sebelum saya sampai kepada perkara yang agak berat (serius) ia itu pandangan dan ulasan, lebih baik saya senaraikan para seniman teater yang pernah berlakon dan bakerja bersama saya dalam aktiviti teater sama ada drama atau bangsawan. Senarai itu adalah yang saya ingat, harap yang tertinggal tidak berkecil hati dan saya minta maaf. Siapa yang saya senaraikan tetapi tidak diketahui sudah meninggal, saya juga minta maaf dan mohon supaya roh mereka ditempatkan bersama orang-orang yang soleh di akhirat. Insyaallah.


1. Allahyarham Wan Isnawi Syed Hj. Annuar - Dia pertunggal saya, emaknya adik beradik dengan ayah saya. Seorang pelakon yang berbakat dan boleh membawa berbagai watak. Terkenal dengan lakonan yang bermutu dan amat tinggi disiplin bila berlakon. Dia sempat menjadi pelakon saya dalam beberapa drama termasuk Sayang Sarawak dan Titik Mula Titik Akhir. Saya tidak ingat tarikh dia meninggal.

2. Allahyarham Ismawi Hj. Husly - Dia sebenarnya penulis puisi dan pelukis. Dia juga seorang aktivis teater yang disegani. Dia bermula dengan drama Inggeris. Walaupun dia tidak pernah berlakon dibawah arahan saya atau mengarah saya, tetapi banyak bakerja dalam penerbitan teater cuma kami berlakon bersama dalam TUGAU arahan Glen Wilford. Dia amat serius bila terlibat dalam teater. Saya pun tidak ingat bila dia meninggal.

3. Allahyarham Fatimah Hashim - Fatimah pada awalnya penyanyi dalam kumpulan RUSDA. Fatimah seorang pelakon yang dikagumi dan memberi lakonan yang berkesan. Kami pernah berlakon bersama dalam drama Melati Sarawak. Fatimah juga pernah berlakon dibawah arahan saya dalam bangsawan seperti Jin Bukit Siol dan Raja Dewa Sisa Tulang. Lakonan Fatimah sebenarnya hebat dan payah disaingi oleh generasi terkini. Disiplinnya kuat. Dia meninggal dalam satu kemalangan jalan raya dalam tahun 1989.

4. Allahyarham Sarmat Sulong - Allahyarham Sarmat Sulong sebenarnya seorang penyanyi yang berbakat. Dia terlibat dalam lakonan bila diberi peluang berlakon dalam bangsawan Raja Laksamana Bentan. Selepas itu Sarmat berlakon sebuah dua lagi teater dan bangsawan. Dia meninggal sewaktu bertugas rasmi di Kota Samarahan dan saya tidak ingat bila.

5. Allahyarham Syaugi Bustami - Dia orang Indonesia dan bertugas dengan Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi Sarawak dalam bahagian Kebudayaan. Dia mempunyai kemahiran dalam bidang muzik dan lakonan. Walaupun dia tidak berlakon atau mengarah drama, tetapi dia membantu saya dalam penyusunan muzik dalam beberapa persembahan bangsawan. Dia mininggal di Kuching.

6. Allahyarham B. Osman - Dia seorang pemuzik dan pemimpin orkestra Melayu Mekar Dahlia. Dia juga seorang pengubah lagu dan banyak mempunyai pengalaman dalam penyusunan lagu khususnya lagu klasik. B. Osman pernah malah selalu mengiringi persembahan bangsawan saya dan saya rasa hampir semua bangsawan dia terlibat. Saya amat terasa kekurangan dalam lagu bangsawan bila dia meninggal. Dia membuat skrip muzik sendiri bila diberi tugas mengandali orkes dalam bangsawan. Saya tidak ingat bila dia meninggal.

7. Allahyarham Obet Amin - Dia sebenarnya mantan polis band. Bila dia bersara dia diambil sebagai pemuzik kontrak dengan KPSU. Dia banyak pengalaman dalam muzik khusunya dalam lagu-lagu bangsawan. Bersama dengan B. Osman, Syaugi Bustami mengiringi muzik latar dalam beberapa bangsawan saya. Saya pun tidak ingat bila dia meninggal.

8. Allahyarham Abdul Rahman Ojer - Dia juga seorang pemuzik dan pemimpin orkes keroncong(lupa nama orkes). Saya mengenali dia kerana dia juga seorang pelawak. Dia pernah berlakon bangsawan dalam Jin Bukit Siol, Siti Nilam Baiduri dan Istana Impian sebagai pelakon lawak. Bila dia meninggal?

9. Allahyarham Saji Lasot - Allahyarham Saji Lasot adalah seoroang pelawak. Lawak jenakanya amat berkesan dan dia selalu menggunakan pelat orang Cina bila berlawak. Dia berlakon sebagai perlawak dalam kebanyakan cerita bangsawan saya dan juga berlawak dalam persembahan extraturun. Sekarang hendak cari pelawak macam dia memang susah.

10. Allahyarham Nusi Haji Ahmad - Allahyarham Nusi Hj. Ahmad mantan guru dan adalah seorang pelawak. Ahli kumpulan lawak bersama Saji sering menimbulkan kelucuan bila berlakon bangsawan. Walaupun berlakon sebagai pelawak Allahyarham Nusi kadang-kadang diberi watak sebagai pembantu Menteri. Dia juga sering membantu saya dalam menyediakan katabual khususnya yang berkaitan dengan astana. Dia belum lama meninggal tetapi tak ingat.

11. Allahyarham Bujang Ismail - Dia juga dikenali sebagai Bujang Katon kerana aksinya kadang-kadang menyerupai Charlie Chaplin. Saya lama kenal dengannya semenjak bangsawan BGS dan peranannya memanglah pelawak. Dia sendiri lucu orangnya dan jarang kita tidak ketawa bila mendengar ceritanya. Dia sering berlakon sebagai pelawak dalam beberapa bangsawan saya. Dia meninggal di Serian.

12. Allahyarham Haji Wan Hussain Syed Alwi - Dia seorang penulis drama radio yang produktif. Dia sinonim dengan drama dalam syair di Radio Malaysia Sarawak. Dalam drama dia seorang pelakon bangsawan yang berbakat. Dia berlakon dalam beberapa lakonan bangsawan saya dan sering memegang watak sebagai Raja atau Perdana Menteri. Sebagai contoh Raja Jin Bukit Siol dan Jula Juli Bintang Tiga. Allahyarham telah menghasilkan antoloji drama radio Jerangau Merah terbitan DBP Sarawak.

13. Allahyarham Jumat Hassan - Allahyarham Jumat Hassan meninggal dalam usia yang masih muda. Dia hanya sempat berlakon dalam beberapa drama arahan saya seperti Cucu Sharif Mashor. Dia meninggal dalam tahun 2007?



2 comments:

Richie said...

assalamualaikum, saudara penulis yg saya hormati,saya merupakan salah seorang daripada cucu Allahyarham Haji Nusi Haji Ahmad. memang benar,beliau seorang pendidik dan juga seorang stage perfomer yang hebat. kini, jarang kita dapat melihat bakat2 seperti Haji Nusi dan rakan2 beliau dalam arena pentas. mudahan, seni ini terus mempunyai kesinambungan. salam..

Unknown said...

Seni man SEPERTI Baduwi Narawi, ALLAHYARHAM Cikgu Ali Razali, Imran Narawi, Rosnie Chik, Kassim Daud pernah menghiasi Drama dlm syair satu ketika dahulu