Sunday, November 16, 2008

NGO yang saya sertai

Mula-mula saya bergiat dalam ABAS (Astana Bintawa Angkatan Satu). Saya tidak banyak peranan dalam ABAS kerana saya rasa belum bersedia dan terlalu muda. Kebanyakan AJKnya terdiri dari tokoh veteran yang berpengaruh termasuk Tua Kampung. Saya hanya membantu dari segi lojistik. ABAS masih lagi hidup sampai sekarang.


Kemudian saya terlibat dengan BGS (Boyan Gersik dan Surabaya Sport Club). Saya juga tidak banyak peranan dalam BGS dengan alasan yang sama. BGS mempunyai penggiat yang berwibawa dan bertenaga. Saya cuma membantu dari luar. Selepas beberapa waktu baru saya terlibat dalam persembahan bangsawan. Itupun peranan kecil. BGS sedang dalam proses untuk dihidupkan semula.


Selepas itu saya menyertai SBM (Seni Budaya Melayu). SBM di asas oleh keluarga Puan Hajah Serbanun Datuk Hj. Merikan. SBM mempunyai kegiatan yang sama dengan BGS dan ABAS iaitu bergiat dalam Sukan, kesenian (bangsawan) dan kemasyarakatan. Dalam SBM saya hanya masuk dalam team bolasepak. Itupun jadi reserve. SBM sudah lama meninggal.


Saya dengan beberapa teman dalam kampung Surabaya, yang saya ingat, Awang Alai, Hj. Mustapha Annuar, Buang Mohammad (kantin) dan lain-lain menubuhkan Surabaya Sport Club.

(SSC) Aktiviti utama kami ialah persembahan bansawan. Disini sayalah yang mengambil peranan penting dalam persembahan bangsawan. (Bab bangsawan akan saya ceritakan kemudian) Surabaya Sport Club aktif untuk beberapa tahun sehingga saya berpindah kerja di Miri. SSC juga sudah lama jadi arwah


Yang paling aktif mengadakan kegiatan ialah (GKKSS) ia itu Gabungan Kampung-Kampung Hilir Seberang Sungai( saya rasa namaini salah) Kampung yang terlibat ialah Astana, Sungai Bedil hinggalah ke Kampung Bintawa. Persatuan ini digerakkan dengan aktif oleh Setiausahanya Haji Wan Hussain Syed Alwi. Kegiatannya hanya mengadakan Pertanding Membaca Alquran di antara kampung-kampung setiap tahun. Semua kampung (kecuali dua kampung iaitu Semarang dan Bintawa Hilir) mengambil bahagian. Peranan saya selain menjadi AJK pertandingan ialah menjadi MC. Setiap tahun pertandingan ini diadakan pada bulan puasa. Ia bermula awal puasa hingga tengah bulan puasa. Selain jadi MC saya juga tukang cabut undi peserta dan menentukan bab bacaan yang telah dipilih. Suara masih bagus semua orang suka. Popular juga saya dibuatnya. Saya tidak tahu bila Gabungan ini tamat dan difahamkan sudah berpindah ke Semariang.


Saya seterusnya dengan beberapa teman seperti (kalau tidak silap) Datul Salbiah Painah, Mahrup (lain-lain saya tidak ingat, nanti saya cari) telah menubuhkan sebuah persatuan penulis. Kamilah jadi pengasasnya. Persatuan tersebut ialah Persatuan Bahasa dan Sastera Malaysia Sarawak atau PEBAS. Kami aktif mengadakan kegiatan kebahasaan dan kesusasteraan.DalamPEBAS sayapernah menjadi setiausaha jadi bendahari danAJK. Kami menyertai GAPENA dan sayalah orang yang pertama dengan dua lagi ahli lain mewakili penulis Sarawak dalam GAPENA. Kami juga yang menjadi penganjur Hari Sastera Malaysia Di Sarawak dan lain-lain kegiatan peringkat negeri dan kebangsaan. Selepas beberapa tahun, PEBAS berukar jurumudi dan kelasi dan masih aktif untuk beberapa tahun dan akhirnya juga berpindah ke Semariang.


Selepas berjaya dalam pertandingan drama, saya dan kawan karib Haji Kassim Daud telah menubuhkan persatuan drama. Kami termasuk Laili Budin, Wan Man dan ada seorang dua lagi telah membena Rumpun Seni Drama Sarawak (RUSDA) seperti PEBAS, RUSDA juga telah didaftarkan, banyak kegiatan drama dapat kami adakan dan pernah menganjurkan pertandingan drama dan tarian bersma Sri Tarina. Malam dua drama dan malam tiga drama. RUSDA juga bertukar kepimpinan dari masa ke semasa. Yang pernah memimpin RUSDA ialah Datuk Dr.Hj. Adi Badiozaman Tuah,Zaini Ozea, Haziz Wahab dan yang lain, kerana terlalu banyak saingan, akhirnya RUSDA juga pindah ke Semariang.


Selepas berjaya mengadakan kursus bangsawan, saya bersama dengan Ismail Hamdan, Halimah,Azhar dan yang lain menubuh pula Sri Bangsawan Muda (SBM). SBM juga berdaftar dan sempat mengadakan beberapa persembahan bangsawan di Kuching dan Samarahan. Oleh kerana beberapa pemimpin persatuan berpindah tempat kerja, ada ke semenanjung, ada ke Sibu dan Miri, akhirnya tandus kegiatan dan pertemuan, lalu juga pindah ke Semariang.


Saya juga menyertai Gabungan Persatuan Penulis Sarawak (GPPS) sebagai AJK dan ada juga jadi Bendahari. Saya duduk dalam GPPS sejak awal sehingga dibatalkan pendaftarannya. Sebab utamanya pembatalannya ialah kurang aktif. Yang penah memimpin GPPS ialah Datu dr. Hj. Adi Badiozaman Tuah. Saiee jadi Setiausaha.


Saya juga aktif dalam Majlis Teater Negeri Sarawak (MTNS) Majlis ini juga didaftarkan. Tidak banyak kegiatan diadakan oleh MTNS dan yang besar ialah teater Semerah Padi di atas pentas. MTNS pernah dipimpin oleh Datuk Hj.Mohd. Taha Ariffin. MTNS tidak bertahan lama dan akhirnya dibatalkan.


Dalam jabatan Unit Perancang Negeri saya aktif dalam Kumpulan Nasyid. Saya Pengerusi Kumpulan Nasyid JKM (nama sebenar saya tidak ingat). Kumpulan kami pernah menjadi johan pertandingan nasyid peringatkat Negeri dan mewakili Sarawak ke peringkat kebangsaan. Kumpulan masih bertahan sehingga sekarang dengan nama lain. Saya berhenti memimpin bila saya bersara.


Dalam Jabatan Ketua Menteri saya jadi Ahli Kelab Keluarga JKM dan menjadi AJk yang aktif menganjurkan hari keluarga dan sebagainya. Saya jadi pengerusi AJK kecil persembahan setiap tahun selama lima tahun hingga saya bersara.


Dalam kampung Lumba Kuda, tempat saya tinggal sekarang, saya menjadi Setiausaha Surau Darul Akhirat selama hampir 16 tahun dan seterusnya jadi Pengerusi hingga sekarang.


Disini juga saya jadi Setiausaha Kawasan Rukun Tetangga Lumba Kuda untuk tiga musim dibawah tiga pengerusi yang berlainan. Seterusnya saya jadi Pengerusi sehingga sekarang (tahun 2008). Di Kampung Lumba Kuda juga saya ialah Pengerusi Kumpulan Zikir Ar Rahman.

Selain dari itu saya adalah Penasihat kepada Kumpulan K Bestari Lumba Kuda/Jalan Mendu.


Saya sekarang menjadi ahli kepada Medan Teater Negeri Sarawak (MTNS) dan saya benar-benar berharap ia tidak jadi MTNS yang lalu.


Seterusnya saya masih lagi jadi AJK Sekolah Selamat Sekolah Kebangsaan Lumba Kuda dan menjadi ahli Persatuan Ketua Masyarakat Melayu Bahagian Kuching.











No comments: