Monday, February 16, 2009

Lain-Lain kerja yang saya buat

Sebenarnya saya banyak membuat kerja-kerja lain yang anak seni lain tidak ikut. Saya bukan sahaja menulis, mengarah, berlakon dan berceramah tetapi membuat kerja-kerja kampung dan membantu masyarakat dalam beberapa hal, diantaranya ialah:-
(1) Tukang Masak - Saya mengikut kumpulan tukang masak Kampung Surabaya, waktu itu saya masih single dan banyak masa yang terluang. Untuk mencari pengalaman, saya turut serta jadi tukang masak profesional bagi majlis perkahwinan. Kami bukan sahaja memasak bagi majlis perkahwinan untuk orang di Kampung Surabaya, tetapi juga di tempat lain. Kami pernah memasak di Bako, di Batu Kawah, Stapok, Semarang dan kampung-kampung berdekatan yang lain. Hampir setiap minggu kami memasak, Saya selalunya di suruh menumis, membasuh nasi, memerah santan, mengupas nanas dan kentang. Bawang saya tak mahu kerana mata cepat berair. Tugas utama saya ialah menngaut nasi ke dalam talam, membubuh kismis dan daun bawang bila sudah diarah berhidang. Seronoknya kerja-kerja jadi tukang masak walaupun pada masa-masa berlalu ia memenatkan. Adalah oleh-oleh dibawa pulang. Saya tidak pernah dibayar upah hanya seronok mengikut teman-teman. Sayang bila sudah kawin dan tinggal ditempat lain, kerja tukang masak sudah tidak diteruskan. Sekarang suruh masak mi segerapun hangus.
(2) Tukang seruk - Tukang seruk ertinya diarah untuk menjemput seseorang atau ramai kemajlis tertentu. Misalnya majlis kahwin, bila kita menghendaki seseorang itu hadir ke majlis berkenaan, kita kena jemput orang itu, dan itulah tugas tukang seruk. Tukang seruk dulu tidak sama dengan tukang seruk sekarang. Dulu kita kena berpakaian kemas, hotmat kepada orang yang diseruk, masuk rumahpun mesti berdisiplin. Tetapi sekarang budak tukang seruk hanya pakai seluar pendek dan bersongkok pun tidak. Menyamnpai salampun diluar pintu. Dulu tidak boleh, kena masuk kedalam rumah dan sesudah ditanya baru boleh menyampaikan maksud seruk. Sekarang tukang seruk sudah tidak diperlukan lagi, sekarang sudah ada Kad, ada SMS atau telefon sahaja. Tukang seruk kini cuma untuk kerja-kerja majlis kecil dan bagi jiran-jiran yang terdekat sahaja.
(3) Hidang seperah - Dulu zaman-zaman saya masih muda, tukang hidang atau susun seperah bukan sebarangan. Mesti ada tertib tertentu untuk menyusun seperah. Didepan tetamu pun ada adap tertentu, duduk kena kemas dan pakaian mesti sempurna, biasanya baju kebangsaan. Hendak menyusun tu, kena tahu terlebih dahulu berapa macam lauk pauk disediakan. Nasi biasanya ditengah selepas minuman, selepas itu yang ditengah ialah lempah kari ayam atau daging. Lepas kirinya barulah hurma (korma) , sayur-sayur dan akhirnya ditepi kiri kanan nasi ialah yang masam-masam selalunya nanas. Sekarang ni agak berbeza, sukahati penyusun. Kecuali kalau menggunakan perkhidmatan katering, baru agak lebih sempurna, itupun pakaian tukang susunnya tidak kemas, baju kadang-kadang tak berkancing. Kerjanya agak mudah kerana berdiri, kerana makan di atas meja, tetapi dulu kena duduk kerana orang makanpun duduk. Saya selalu mengikut kumpulan penghidang seperah Kampung Surabaya. Kami bertugas diberbagai kampung yang berdekatan. Orang tukang atur seperah selalunya makan akhir, dah habis semua tetamu baru boleh makan.
(4) Ngali Kubur - Saya tidak banyak dan selalu kerja ni, takut tidaklah, cuma agak geli gementar. Itupun saya masih muda dan belum banyak berteater. Adalah tiga atau empat kubur yang saya ikut gali, saya bukan seorang, ada tiga atau empat lagi teman. Tanah perkuburan itupun di kampung saya juga, darat kampung Surabaya. Saya tak nak cerita banyak dalam bab ini kerana takut hilang pahala. Cukuplah saya ada dapat payung sebagai upah.
(5) Menjala - Saya sebenarnya minat menjala. Waktu saya diBako atau di Kampung Surabaya, saya ada sebuah perahu dan cara kebetulan saya juga ada jala (bapa yang punyalah). Petang atau air setengah pasang, saya menjala udang memakai umpan beras atau padi. Pada air surut, kami (saya dengan adik) merambang pula, tidak menabur umpan. Itupun kena tahu lubuknya.
Yang tidak saya lupakan ialah bila kami (orang kampung Lumba Kuda) pergi menjala menggunakan jalan (beremak dipantai) , mula-mula datang dengan perahulah, perahu diikat disatu tempat dan kami 4 atau lima orang berjalan dipantai sambil menibar jala. Ada kala nasib bagus, dapat banyak oleh, kalau tidak tu, cukuplah untuk menyenang hati. Sekali kami dilimpasi oleh seekor ular kuning besar, terkejut semua kami dibuatnya, nasib tidak ada apa-apa, kiralah ular tu menuju kearah kami, dimana kami nak pergi, bukan senang berlari beremak, ngangkat sebelah kaki dari pantai (pantei) dan setengah minit, belum lagi kasut lekat dalam pantai (pantei) Jangan diamal. Bila kami pulang sesudah air pasang, timbul pula satu masaalah, enjin perahu kami rosak, tidak dapat di start-start, terpaksalah kami berhanyut mengikut air pasang dan sekali sekala berlayar menggunakan daun nipah. Pukul lapan malam baru sampai rumah.

No comments: